Hasyuda Abadi (Sabah-Malaysia) S E N G K E T A

Hasyuda Abadi (Sabah-Malaysia)

 

S E N G K E T A

oleh Hasyuda Abadi

Satu jalan telah berbagi. Sudah sampai masanya

kau bersiap untuk memilih. Apakah kelak benar jua

yang telah kau pegang? Pandang saujana

yang Tuhan berikan, bumi tak pernah rela

diperbuat sengketa. Sayang nafsu menguasai

segala. Duniamu teroka api menjadi lautan

yang menenggelam. Sambil akal telah dibaham

gelojoh. Satu jalan telah berbagi dalam

dendam-dendam yang tak sudah.

 

Pontianak,

Kalbar.

 

  • Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor bin Haji Usin, anak kedua Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah pada 1960. Ayahnya berasal daripada suku kaum Murut dari daerah Tenom, Sabah (Haji Usin dipelihara oleh datuk sebelah ibu keturunan Banjar dan nenek dari keturunan Dusun). Walaupun keturunan ayahnya Murut tetapi datuknya (bernama Liwas) telah menganut agama Islam lebih awal. Ibu Hasyuda berketurunan suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Sebab itu Hasyuda sering menggelar sukunya sebagai Murja (gabungan Murut dan Jawa). Saudara-saudara Hasyuda terdiri daripada seorang abang (meninggal sejurus lahir) dan lima orang adik terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan (Hassimah, Hamidah, Rosly, Melati dan Melor). Oleh yang demikian Hasyuda mengambil tempat arwah kekandanya sebagai abang tua bagi adik-adiknya.
    Latar awal kehidupan seninya: Hasyuda tidak asing dengan dunia seni kerana masa kecil sering didedahkan dengan aktiviti berkaitan seni persembahan seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran di tempat kelahirannya. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Lumadan dan pekerja-pekerja Estet Lumadan. Setiap bulan semasa ‘hari gaji’ estet ini mengadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Estet Lumadan (kini Ladang Sawit Lumadan, getah diganti dengan penanaman sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan di kalangan masyarakat estet-estet getah di Sabah. Ada sebuah panggung di ladang itu; di situlah Hasyuda pernah beraksi membaca sajak ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun). Pernah bercita-cita menjadi guru sautu ketika dahulu tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Bakatnya tiba-tiba menyerlah ketika berhijrah ke Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran kerja. Di Kota Kinabalu (1979), Hasyuda berkenalan dengan Hajah Zaiton Haji Ajamain, penulis dan pemimpin Kumpulan Anak Seni. Di sinilah semuanya bermula; daripada menjadi penari kepada penulis puisi yang komited.Hasyuda berkahwin dengan Puan Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah dan telah dikurniakan dua orang puteri bernama Syahzierah dan Syahfierah. Puan Yazidah bagaimanapun telah kembali ke rahmatullah pada 25 Februari 2010. Hasyuda mendirikan semula rumahtangganya dengan penyair Puan Sahara Jais. AKTIVITI:Cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985, Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2008 bagi genre puisi dan cerpen. Hasyuda merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul ‘Perlimbahan Cinta’. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail. Hasyuda juga pernah mewakili Malaysia sebagai perserta Festival Penyair Korea Asean ke-2 yang berlangsung di Pekanbaru, Riau pada 2011. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) di samping menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA), mengetuai Kelab Maya Sastera Sabah (KEMSAS) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Menjadi penceramah sastera KOMSAS dan penceramah program-program penulisan di sekolah. Hasyuda sedang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah. Penyair ini juga menggunakan nama-nama pena lain dalam tulisan-tulisannya seperti Mirza Fansuri, Adi H. Abadi, Ardi Bayu, Tampurung Bubus dan Iqbal Nazim. Hasyuda ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah ‘Bintang Kinabalu’ (B.K.) pada tahun 2006 dan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia ‘Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)’ daripada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008. Hasyuda juga merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah bagi tahun 2008 daripada Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah. PRODUK SASTERA: Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004), Hadiah Karya Sulung (2002) dan Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Islam (2011). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 40 buah cerpen, 35 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (1989), ‘Akar Cahaya’ (1997), ‘Datang Kembali’ (1997), ‘Menginai Badai’ (2004), ‘Sirna Sirna’ (2006) dan ‘Kembali di Lahad Rahsia’ (2008). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen ‘Sepasang Sayap Jelita’ (2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam ‘Usul Mengenal Asal’ (2007). Puisi-puisi Hasyuda juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain melalui 32 buah antologi puisi, antologi cerpen (2 buah), skrip drama pentas (1 buah) dan esei sastera (1 buah). Penghargaan1. Tokoh Penyair Islam Sabah 20082. Hadiah Sastera Perdana3. Hadiah Sastera Sabah 4. Penghargaan Tinta Seniman 5. Hadiah Tinta Sastera 6. Pingat Pangkuan Negara (PPN) SPB Yang DiPertuan Agung. Sejak 1979 mula menulis puisi. Lebih seribu puisi telah terhasil dengan 6 buah buku puisi. Berkahwin dengan Sahara Jais. Mempunyai 2 orang cahaya mata semasa bersama isteri pertama, Allahyarhamah Yazidah Abdullah. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat secara aktif sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) di samping menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA), mengetuai Kelab Maya Sastera Sabah (KEMSAS) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Menjadi penceramah sastera KOMSAS dan penceramah program-program penulisan di sekolah, IPT dan sektor awam. Pernah dilantik sebagai juri pertandingan nasyid peringkat Negeri Sabah dan juri penilaian Hadiah Sastera Sabah. Hasyuda bertugas di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sabah selama 25 tahun (sejak 1985), terlibat sebagai penceramah Pendidikan Pengundi di peringkat sekolah, IPT, sektor awam dan juga komuniti politik di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: