Abdul Razak Othman (Kelantan- Malaysia) MALAM PILIHANRAYA

Abdul Razak Othman (Kelantan- Malaysia)

 

MALAM PILIHAN RAYA

oleh Abdul Razak Othman

 

Membeli sepatu di pasar malam atau pasar raya sama saja

dipilih-pilih dan dicuba-cuba sebelum melangkah-langkah

otak bertanya mata, “cantikkah pada pandanganmu?”

mata bertanya hati, “bergayakah aku memakainya?”

hati bertanya kaki, “selesakah dengan langkahanmu?”

kaki bertanya dompet, “cukupkah wang yang kau ada?”

dompet bertanya tauke, “berapa harga boleh dikurang?”

 

Membeli sepatu di pasar malam atau pasar raya sama saja

pakailah terus kalau wang sudah bertukar tangan 

sepatu, jangan bertanya ke mana kamu hendak di bawa

ke kantor atau ke hotel, ke lumpur atau ke debu tanah

ke masjid atau ke pasar, atau ke mana sekalipun

yang pasti kamu sudah dipunyai.

 

Memilih sepatu di pasar malam atau pasar raya sama saja

mata kita diperdaya oleh cahaya sama ada

pasar malam yang malap dan pasar raya yang silau

di situ mahal bukan bererti asli, dan murah bukan bermakna tiruan

kerana itu, ada yang mengeluh sesal setelah tersalah pilih.

 

Memilih sepatu di pasar raya atau di pasar malam

dan memilih pemimpin dalam pilihanraya adalah sama

pemimpin umpama sepatu dan rakyat ibarat kaki

sepatu tidak akan ke mana-mana tanpa dibawa kaki

dan kaki tidak akan selamat tanpa memakai sepatu

sudah pasti sepatu perlukan saiz kaki yang sepadan

dan kaki inginkan sepatu yang kuat sebagai ‘protektor’

kedua-duanya perlu-memerlu.

 

Kerana itu setiap kali pilihanraya kita harus berhati-hati

kerana di hadapan sana ada titi yang panjang

tapak sepatu harus secocok dengan permukaan titi

jika tidak, kaki kalian mungkin tergelincir

yang jatuhnya anda, yang sakitnya semua

dan yang binasanya bangsa; dan jika tidak,

pasti nanti generasi anak-anak kita akan mendesak,

“Bapak, *mohon sepatunya dilepaskan”.

*kata-kata yang ditemui di tangga masjid Batu Sangkar, Sumatra Barat.

 

1999  (Utusan Zaman, 28 November 1999)

·        Abdul Razak. Nama pena Abd Razak @ Rezeki Othman. Memenangi Hadiah Sastera Utusan (HSKU) 2001 dan 2008. Naib Johan sayembara deklamasi puisi BBSK 2009 peringkat negeri Kelantan. Lulus dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Salah satu buku kumpulan puisinya yakni. Mulukut Menukik Sekam

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: