Zurinah Hassan (Selangor- Malaysia) DOSA PERAGUT


DOSA PERAGUT
Oleh Zurinah Hassan
Terbaring sakit begini
aku mula mengerti
dosa itu daki
yang mengkaratkan hati

Bertahun-tahun aku menjadi peragut
tidak pernah merasa bersalah
sebaliknya aku marah-marah
kepada pemerintah
pemimpin bermewah mewah
membazir wang rakyat
punca jenayah meningkat

Politik berserabut
ekonomi kalut
bagaimana aku boleh hidup
kalau tidak meragut

Tanpa rasa terkilan
kutunggu mangsa di jalan
Hinggalah hari itu
kuekori seorang perempuan
kurentap bag yang disandang
dia cuba menghalang
kutolak jatuh terlentang
kulihat kepalanya berdarah
apakah lukanya parah?

Jeritannya memanggil sekawan pemuda
mereka membelasahku setengah mati
sebelum menyerah ke polisi

Siang tadi aku dibawa ke pengadilan
mendengar pertuduhan
aku peragut kejam
menzalimi seorang ibu yang sedang berjalan
mencari ubat untuk anak yang demam
dengan sekeping RM lima puluh yang baru dipinjam.

Ya, dalam dompetnya hanya RM lima puluh
tetapi itu aku tidak hairan
pendapatanku memang tidak pernah lumayan
mangsaku selamanya orang-orang miskin
yang berjalan dengan wang sedikit
bukan sikaya yang berjalan dengan kad kredit
jauh dari lorong-lorong sempit

Aku juga sedar itu perkara biasa
di mana-mana
orang miskin membantai orang miskin
sedang orang kaya bersantai dengan yakin.

Tapi wajah mangsaku
serupa benar dengan aruah ibu
yang suatu ketika dulu
menangis memangku tubuh adikku
yang terbujur kaku
si kecil itu demam berhari-hari
menangis tidak berhenti henti
ibu mendokongnya ke sana ke mari
menjelum kepalanya dengan daun melur
kerana tiada wang untuk dibawa ke doktor.

Menatap wajahnya
dinding perasaan yang dikeraskan oleh kemiskinan
runtuh juga diterjah kenangan
pagi tadi mahkamah tergamam
bila seorang peragut yang bengis
tiba tiba menangis

 

  • Zuriah Hassan  dilahirkan tanggal  13 Jun 1949, Alor Setar Kedah. Alamat Tetap: No.2, Jalan Pinggir, 8/1L, Seksyen 8, 40000 Shah Alam Bermaustautin di Selangor sejak tahun 1974 Kelulusan Akademik: B.A.Hons (Universiti Sains Malaysia), M.A. (Universiti Putra Malaysia). Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Pengalaman Menulis: Karya-karya berbentuk sajak, cerpen, rencana telah tersiar di akhbar dan majalah misalnya Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Mastika dan lain-lain sejak tahun 1967. Anugerah / Hadiah Sastera ; 1- Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) 2004. 2- Hadiah kategori buku, i- Pujangga Tidak Bernama, Hadiah Sastera Perdana(1994/1995) ii- Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Hadiah Buku Perpustakaan Negara 2002/2004) iii- Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi , Hadiah Sastera Perdana 2002/2003. Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah Sastera Perdana. Hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1984. Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera, 1984 Karya yang telah diterbitkan di dalam bentuk buku: 1- Sesayup Jalan, Biro Penerbitan USM, 1974 (antologi sajak). 2- Di Sini Tiada Perhentian, Pen.Pewarna, Kuala Lumpur, 1977 (antologi sajak). 3- Keberangkatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1985 (antologi sajak). 4- Kuala Lumpur and Other Places, Pen. Al-Huda, 1988 (antologi sajak versi Bahasa Inggeris). 5- Meneruskan Perjalanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989 (antologi cerpen). 6- Hatimu Aishah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991 (novel). 7- Pujangga Tidak Bernama, Dewan Basa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994 (antologi sajak) 8- Sembilan Cabaran Wawasan 2020, Pen.Pewarna, Shah Alam (kajian am) 9- Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 (Kajian Sastera) 10- Nota Waktu (antologi puisi Bersama Lim Swee Tin), Citra Publishing Sdn Bhd. 2000. 11- Memoir Zurinah

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: