Mohd Isa bin Abd Razak (Sabah-Malaysia) TEBARKAN AKSARAMU


TEBARKAN AKSARAMU

Oleh Mohd Isa Abd Razak

 

Aku menyenangi aksaramu
putih dan hijau berkilat
menjadi daun musim luruh
di negeri jauh.

Aku menyenangi aksaramu
duduk rapat-rapat
bersama-sama para malaikat.

Kulihat aksaramu kecil dan besar
berdiri bahu-membahu
sesekali bergerak perlahan-lahan
ke kanan dan ke kiri
tabah menapak ke destinasi.

Kudengar aksaramu bergumam
berbaur geram dalam diam
di sisi kapal hampir karam.

Kini aksaramu berdiri
menyanyi menguliti hidup ini.

Tebarkan aksara budi
mewangi di hadapanku
tebarkan aksara iman
semerbak dari denai ilhammu.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban

Berita Harian, 28 Mac 2009

 

  • Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya.Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah. Dia menghasilkan sebuah novel pada tahun 1974 dan beberapa buah cerpen sejak 1972 hingga 1979. Pada tahun 1973 cerpennya memenangi hadiah pertama peraduan menulis cerpen Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau. Pada tahun 1976 dia menerima Hadiah Sastera Nasional untuk cerpennya “Oh, Anak Abah Sayang!” Dua buah cerpennya termuat dalam dua buah antologi yang berasingan. Satu antologi terbit pada tahun 1979 dan satu lagi terbit pada tahun 1980. Selain itu, pada tahun 1970-an dan 1980-an dia menulis makalah, puisi dan pelbagai karya untuk akhbar dan radio.Dia berkhidmat sebagai guru selama tiga tahun, setahun di sebuah sekolah rendah di Penampang dan dua tahun di sebuah sekolah menengah di Papar. Mulai tahun 1980 dia menyertai maktab (institut pendidikan guru). Dia bersara pada pertengahan tahun 2008. Jawatan terakhirnya ialah Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu.Apabila dia menumpukan perhatian yang serius terhadap profesionnya, upaya penulisan kreatifnya menumpul dan kemudian bernoktah. Namun, sebagai penjawat awam, dia menghasilkan beberapa buah buku panduan dan sejumlah modul pembelajaran. Selain itu, dia menghasilkan ratusan kertas pengujian dan penilaian dan beberapa kurikulum kursus. Dia juga menghasilkan esei ilmiah, kertas konsep/projek, kertas kerja akademik dan pelbagai jenis laporan. Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, dia menghasilkan satu cakera padat pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan pada tahun 2002 dan dua cakera padat video yang diterbitkan pada tahun 2007. Dia mengelolakan dua laman web hampir sepuluh tahun sebelum kedua-dua laman itu digodam pada awal tahun 2008. Dia menjadi moderator dua e-grup sejak tahun 1999 tetapi dibiarkannya tanpa kubur mulai tahun 2009.Pada tahun 1996 dia mendapat tauliah sebagai Munsyi Dewan. Selepas itu, dia menerima dua Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Pada tahun 2001 kumpulannya menerima hadiah Johan Inovasi Pedagogi Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Pada tahun 2007, dia menjadi penerima pertama Anugerah Pensyarah Inovatif daripada jabatan pelajaran negeri.Mulai bulan Januari 2009 dia kembali menyumbangkan tulisan untuk media cetak. Mulai bulan Januari 2009 juga dia mula menjadi penulis blog. Tulisannya disiarkan juga oleh beberapa laman/blog lain terutamanya laman Prihatin dan Pendidik.Net. Mulai akhir bulan September 2009, dia mula mengaktifkan diri dalam Facebook.Pada tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an, media cetak yang pernah menyiarkan karyanya ialah Utusan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, Bintang/Mingguan Timur, Harian Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Dewan Pelajar, dan Pemimpin. Apabila dia kembali berkarya mulai tahun 2009, media yang sudah menyiarkan karyanya ialah Berita Harian, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera. Catatannya “Keakraban, Kejeleketan dan Dedikasi Warga Bukit Langsat” termuat dalam buku Jubli Perak IPG Kampus Keningau (2010). Terkini, dua catatan dan satu eseinya dimuatkan sebagai bab ke-19 dalam buku Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang terbitan MDK Intelek Enterprise, 2011.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: