Marsli NO (Malaysia) MAHARAJA LAWAK

Marsli NO  (Malaysia)

MAHARAJA LAWAK (1)

oleh Marsli NO

OTAKNYA yang kosong melemparkan kata-kata yang dijalin menjadi cerita.  Logikanya adalah tepok tangan pendengar atau penonton yang selalu dicandui oleh ketawa.  Dengan bohongnya dia memperalatkan peristiwa menjadi hiburan yang benar-benar ceria. Hatinya  yang kelabu dan akalnya  yang keliru dibasuh dengan air popular. Sebelum dirinya dilenyapkan menjadi badut atau monyet di pentas.

 

November 21, 2011

MAHARAJA LAWAK (2)

oleh Marsli NO

Dia adalah monyet yang terlalu  berlebihkan gembira kerana mendapat barang mainan dan kostium baru. Pentas adalah dunia keduanya yang lebih dicintai melebihi segala yang  pernah dia cintai sepanjang hidupnya.  Kata dia ucap tanpa dibasuh dengan akal dan fikir. Kawan dan lawan adalah bahan dunia lawaknya yang tidak pernah susut. Malah berlebihan dibuka celana dan kuncinya jika muncul kisah  lain yang boleh mendatangkan lawak yang penuh dengan cerca.  Dia memang memilih menjadi pelawak dan merelakan akal cerdiknya bertukar menjadi segumpal kertas yang ringan dan kumal. Atau perasaan manusianya disunglap menjadi kehendak yang memberhalakan rasa serakah.

Atas nama lawak, segala dia halalkan. Demi gelar dan tawa khalayak yang selalu mencandui hiburan yang nipis dan kosong. Dan bangsanya yang terpaksa menjadi pendengar, merintih perlahan-lahan di dalam kebodohan yang dipaksa mereka menerima.

November 22, 2011.

MAHARAJA LAWAK (3)

oleh Marsli NO ·

Inilah pentas baru dan lain kau buyarkan segala kantongan usus dan akalmu. Dengan kata penuh lihai dan makna yang disunglap agar menjadi simsalabim, berkoar kau atas nama maruah dan bangsa. Benarkah kau mendahulukan mereka dan bukan kerusi milikmu? Aku selalu bertanya kepada angin yang sinis dan mengejek. Ketika kembali memadankan segala maksud dengan kebenaran yang dipermainkan oleh sewenang.  Atau semakin aku diperbodohkan dengan lawak yang lama tetapi diperbaharui hias dan kostiumnya. Di depan lampu yang lebih berkemilau  dan bintang yang berkerdipan di hari siang?

November 30, 2011

MAHARAJA LAWAK (4)

oleh Marsli NO

Di sinilah pentas dan ruang “si palsu mencari makan” (1). Mengendarai akal muslihatnya dengan raga hanuman. Meratah atau meredah segala yang menghadang. Tanpa malu dan silu mengangakan mulutnya yang berbau di depan mikrofon. Berkoar demi meraih sokongan atas nama mempertahankan segala pertuanan.  Ketika lidahnya yang berkarat dan terbelah menyokong hujahnya yang bejat untuk setiap kata yang sudah dipintal dan maknanya dipusing terbalikkan.

Dan penonton diajak melambung sebiji bola kristal yang dipenuhi mimpi dan angan.  Di pentas dan ruang yang menyaksikan kejadian, dengan rasa mual yang tidak terucapkan

Disember 1, 2011

(1)  Ucapan Ridzuan Harun di status FBnya.

 

  • Marsli NO. Nama pena bagi Ramli Selamat.  Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu  pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibu pula negeri Terengganu, sehingga ini sering kali membuatkan beliau dianggap sebagai “anak orang luar”. Minat menulisnya tumbuh lantaran pengaruh bahan bacaan awalnya seperti majalah Dian serta novel-novel seperti “Pertentangan” karya S. Othman Kelantan, “Athies” karya Achdiat Karta Mihardja  dan “Ranjau Sepanjang Jalan” Shahnon Ahmad. Ketika panas suasana perang di Vietnam dan di tanah Amerika berkobar bantahan mengenainya, lahirlah sebuah sajak awal beliau dengan judul “Anak Sisa Perang Vietnam” pada tahun 1970. Ketika itu beliau sedang di tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.  Tetapi secara sungguh-sungguhnya beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1975 dan mulai Mei 1979 baru karyanya  berupa sebuah sajak berjudul “Harapan” disiarkan di majalah Dewan Sastera. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah. Tahun 1985 puisinya “Di Hadapan Buku-Buku” antara yang meraih sagu hati Hadiah Sastera Utusan Public-Bank, tahun 1989 puisinya “Negeri Ini, Anak” antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena.  Pada tahun 1993 cerpennya “Belon” antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1994 cerpennya “Pembela” turut meraih anugerah yang sama. Sementara puisinya “Begitu Kata Malam” antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 dan cerpennya “Menanti Buraq” pula antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 200/2001. Pada tahun  2003, cerpen beliau “Menternak Hantu” telah meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2003. Tahun 2010, cerpen beliau “Ketuanan, Maaf dan Seekor Binatang” antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009.Sejak 1981 terlibat juga dengan teater selaku penulis naskhah, jurulatih, sutradara dan aktif membacakan naskhah. Di samping tampil dalam sejumlah pementasan, antaranya ialah pada 26 – 28 Ogos 2000 dalam pementasan “Gelanggang Tok Wali” karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon, penglibatan ini turut memberikan kesan dalam cara dan gayanya ketika di pentas dan sikapnya dalam mengarang. Di samping itu, pada Pekan Teater Pahang 2000, bersama Bengkel Teater Kuantan pimpinannya dan dengan naskhah “Fragmen Tolong” karya dan arahannya, telah meraih juara Pekan Teater Pahang 2000 dan ketika mewakili negeri Pahang ke peringkat zon Timur di Johor Bharu pada tahun yang sama telah berjaya meraih naib juara.Sebagai deklamator beliau telah diundang dalam banyak acara. Pada 9 April 1988 di Baca Puisi Minggu Sastera DBP, 29 Oktober 1988 di Malam Puisi Riong III, Pembaca Sajak Terjemahan PPDKL 1988 (24 – 27 1988), 7 Mac 1989 di Puisi DBKL 1989, 15 Disember 1991 di acara Temu Puisi (Matic, KL), pada 13 Februari 1992 bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis DBP, pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL, 24 November 1993 di baca puisi Majlis Pelancaran Perisa (DBP), 29 Julai 1995 di acara Puisi Sepetang anjuran Kelab Sastera DBP, pada 9 September 1998 di acara Deklamasi Puisi Komanwel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Istana, Kuala Lumpur;  pada 24 September 1999 di acara Baca Puisi Bersama-sama Kedutaan Asing sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 1999 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor;  pada 29 Ogos 2000 beliau merupakan salah seorang penyair yang tampil membacakan puisinya bersama Perdana Menteri pada malam Baca Puisi Patriotik anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya; bersempena Festival Puisi Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 15 November 2000 beliau mementaskan dekon “Dari Pungguk ke Katarsis bersama warga Bengkel Teater Kuantan pimpinannya;  pada 18 Ogos 2001 dijemput sebagai salah seorang pembaca puisi di dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir tetapi ketika siaran rakamannya pada malam 30 Ogos 2001 di NTV7, segmen baca puisi tersebut tidak diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) atas sebab dan alasan yang tidak jelas. Sekali lagi, pada 28 Ogos 2002, beliau merupakan salah seorang yang diundang membacakan puisinya di acara Baca Puisi Patriotik Ke 3 anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya. Di kaca tv pula, beliau telah tampil membacakan puisinya di rancangan “Anjung Budi” terbitan RTM 1.Bukunya yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi “Negeri Ini, Anak” (DBP, 1994), “Hanya Kata” (DBP, 1995) dan “Kepada Angin Juga” (DBP, 2008). Novel remaja “Utusan Di Daerah Asing” (DBP, 1993) dan novel kanak-kanak “Mencari Misteri” (DBP, 1997).Kumpulan cerpennya yang telah diterbitkan pula ialah “Biduan” (DBP, 1994),  “Demi” (DBP: 1998) dan “Menanti Buraq” (DBP, 2008).   Secara persendirian pula, beliau telah menerbitkan kumpulan puisi “Siapa di Balik Sana?”  (1986), “Bla Bla Bla” (1990), “Ninabobok” (1993) dan “Di Negeri Mabok” (2010).  Juga  kumpulan cerpen “Penipu” (1997) dan “Politikus, Badut & Sebuah Cermin” (2009).“Penderhaka” sebuah novel yang ditulis beliau pada tahun 1991  diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2011.  Sementara kumpulan cerpen “Masihkah Aku Bermimpi?” sedang dalam proses penerbitan. Dalam kumpulan bersama pula puisinya turut dimuat di dalam “Manifestasi” (Pena, 1982), “Selagi Ombak Mengejar Pantai 5” (Kemudi, 1986), “Masih Adakah Kasih Untukku” (Utusan Melayu, 1986), “Gema Membelah Gema 8” (1987), “Gema Membelah Gema 10” (1991), “Gema Membelah Gema 11” (1994), “Puisirama Merdeka” (PENA, 1986), “Di Luar Kerelaan” (DPMP, 1987), “Jika kau Rindu” (DBP, 1988), “Di Atas Mimbar Merdeka” (DBP, 1989), “Puisi Baharu Melayu 1961-1986” (DBP, 1990), “Salam Samudera” (Universiti Malaya, 1990), “Antologi Temu Puisi” (KKP, 1991), “Takhta dan Rakyat Suatu Manifestasi” (DBP, 1993), “Cetera” (Kelab Sastera DBP, 1994), “Rumah Merdeka” (Gapena, 1998),  “Aksara Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2000) dan  “Jamung Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2005), “Manuskrip Luka Bangsa” (Pena, 2006), “Genting Gaza, Gentingnya genting” (Pena, 2009), “Selamatkan Anak-Anak Palestine” (Jawatankuasa Malam Amal Selamatkan Anak-Anak Palestine, 2009) dan “Sumpah 152” (Gapena,  2010).  Di luar negara puisinya turut dimuat di dalam “ASEANO: An Anthology of Poems From Southeast Asia” (Asean Committee on Culture & Information: Manila, 1995) dan “Antologia  de Poeticas: Kumpulan Puisi Indonesia, Portugal, Malaysia” (Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, 2008) .Dalam kumpulan bersama pula cerpennya dimuatkan dalam “La Q” (DBP, 1991), “Fenomena” (DBP, 1992), “Mercu 2” (DBP, 1993), “Mercu 3” (DBP, 1995).Karya beliau berupa cerpen pernah diterjemahkan ke bahasa Thailand dan sajak pula ke bahasa Arab, Portugis, Korea dan Inggeris. Antaranya “Voices of Malaysian Poets” (DBP, 2009) dan “Emas Tempawan” (DBP, 2006) dan ke bahasa Rusia terjemahan Dr. Victor A Pogadev  “Bertakhta di Atasnya” (Moscow, 2009). Sementara tulisannya berupa rencana teater turut dimuat di dalam antologi “Teater Terengganu Suatu Penelitian Pasca Moden” (Tetamu, 1996) dan “Jenama, Tulang Belakang, Akar Umbi Teater Terengganu” (Tetamu, 1997).Pada April 1993 hingga Oktober 1995 pernah menjadi tamu rancangan Galeri Minda di Radio Tiga Kuantan yang membicarakan isu-isu sastera semasa dan menyampaikan ulasan buku-buku  terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila. Pada 21 hingga 27 Ogos 2003 beliau mewakili negara ke Singapore Writer’s Festival anjuran National Art Council Singapore di Singapura. Pada 2 hingga  7 Disember 2009 mewakili negara ke Korea-ASEAN Poets Literature Festival di Korea Selatan dan pada 24 hingga 29 Oktober 2011 mengikuti acara  sama, Korea-ASEAN  Poets Literature Festival II di Pekan Baru, Riau, Indonesia.Selama lima tahun, dari  tahun 1994 hingga 1999, dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan, baik berupa benda mahupun karya, secara tribulan pernah menerbitkan antologi karya kreatif/non kreatif yang diberikan judul P-S.Dalam pembawaan sehari-harinya sebagai sasterawan, sikapnya yang suka berterus-terang dan tegas lagi lantang menyatakan pendirian seputar sastera serta persekitarannya, sering pula disalah anggap oleh banyak teman sasterawan segenerasi mahupun yang veteran sebagai seorang yang suka mencari gaduh atau pencari salah.Sepanjang penglibatan beliau sebagai sasterawan juga telah beberapa kali diundang sebagai pemakalah, antaranya pada Forum Kemelut Sastera Malaysia anjuran bersama KALAM, DBP dan Gapena pada 30 November 1996, Dialog Sasterawan Generasi Baru 1 (Kelab Sastera dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, 3 Oktober 1998), Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (23 – 25 November 1998 anjuran Kelab Sastera DBP), dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (anjuran DBP, Gapena dan PPJ di Johor Bahru, 17 – 21 April 1999) dan Perkampungan Penulis Muda Malaysia (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuching, Sarawak pada 12 – 15 Jun 2003). Dengan hasrat memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta mengangkatnya ke dunia siber, beliau juga membina laman web sastera yang memuatkan karya karya peribadi dan sasterawan tamu yang dapat ditelusur melalui alamat http://www.reocities.com/marslino/   atau  melalui blognya di alamat http://marslino.blogspot.com.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: